Followers

Thursday

Valentine Day






Saya sebenarnya malu mahu berbicara mengenai cinta. Bukan kerana saya memusuhi cinta, namun kerana dari kecil faham cinta saya malah mungkin sesiapa sahaja yang dilahirkan sebagai kanak-kanak dan remaja Islam Melayu di Malaysia tidak lepas daripada konotasi lagu-lagu jiwang tangkap cinta nyayian Slam, Scoin, Spoon, Spin, Exist, Budak Kaca Mata dan sewaktu dengannya. Kalau mahu nampak brutal sikit maka mereka layan XPDC.
Masa sekolah, saya sekolah Arab dan menjadi amalan di sekolah Arab kebanyakan membezakan antara kelas pelajar lelaki dan perempuan. Kantin kami juga dipisahkan dengan penghadang semacam dalam masjid. Saat menjeling-jeling hanya ketika bertembung di kaki lima (itupun sudah ditetapkan jalan mana yang boleh dilalui pelajar lelaki dan jalan mana yang tidak boleh kerana ditetapkan jalan pelajar perempuan), ketika membayar makanan kepada makcik kantin dan ketika perhimpunan.
Di sesetengah sekolah pula memang tidak ada lelaki atau perempuannya. Kalau sekolah lelaki maka semua pelajar lelakilah dan jika sekolah perempuan maka semua pelajat perempuanlah. Apa yang berlaku sepanjang kami belajar dalam keadaan itu dan kesannya kepada kehidupan kami kemudiannya?
Kebanyakan pelajar sekolah agama beraliran Arab ini menjadi sangat pemalu. Malah jika dilihat bercakap dengan pelajar perempuan sahaja sudah dianggap sesuatu yang aneh dan amat memalukan diri kami sendiri. Kalau ditanya kepada mereka, sepanjang bersekolah menengah berapa kali bercakap dengan pelajar perempuan, saya percaya ada yang menjawab, "Tidak pernah walau sekali!"Namun dalam ramai-ramai tidak dinafikan ada yang tidak menjadi pemalu sebagaimana sebahagian besar yang lain. Kerana kehidupan sebenar di rumah adalah berlainan, malah mereka hanya terpaksa masuk sekolah aliran agama ini. Justeru sifat malu tidak juga dapat dikalung pada wajah akhlak mereka. Namun paling tidak, mereka tetap malu andai dilihat bercakap-cakap dengan pelajar lelaki di sekolah.
Kawan-kawan lelaki tetap ada yang nakal dan ada pakwe makwenya. Terdetik juga di hati tatkala melihat kawan-kawan jenis ini, iyalah kalau mahu dibandingkan dengan kawan-kawan lain tidaklah dia sehensem mana, kaya pun tidak, namun katanya awek sekeliling pinggan.
Kadang-kadang terdetik juga dalam hati kecil saya, "Aku ini, tidak cukup hensemkah bagi mana-mana gadis berkenan? Kalau dilihat kepada si fulan rasanya aku lagi hensem, kenapa dia ramai awek sedangkan aku seorang pun tiada?"
Persoalan itu dibiarkan berlalu sehinggalah saya masuk universiti.
Era baru bermula, ikhtilat yakni pergaulan berlainan jantina di mana-mana. Yang berjanggut, bertudung labuh, berjubah apatah lagi yang sebaliknya bebas terbabit dalam pergaulan tanpa batasan itu. Rasa malu yang terbina sekian lama semasa belajar di sekolah menengah sedikit demi sedikit terhakis.
Ramai sahabat yang tertewas namun masih ramai yang utuh memegang panji tarbiyah. Saya letakkan diri di tengah-tengah. Persoalan lama masih lagi menggeletek jiwa apatah lagi di sini lagi terpampang natijahnya.
Jiwa sentiasa bersoal-bicara sesama sendiri, "Engkau tidak ada kemahuankah mahu berpasangan? Punya mata hati sendiri? Yang mahu dijaga dan dimanjai, yang mahu diminta pertolongan, nasihat malah mungkin kejutkan bangun tahajud dan solat Subuh berjemaah nanti? Tidak mahukah? Bukankah indah? Atas nama ukhwah fillah... bukan ikhtilat yang membawa kepada zina zahiri sekadar... iya, mengisi kekosongan hati, mencari sinergi untuk diri? Menjadi azimat penguat diri."
Persoalan semakin giat merancu fikiran dan batin. Melihat kepada kawan-kawan yang baru semuanya ada pasangan. Wah, semuanya punya pasangan malah bersembang-sembang dengan bangga dan bahagia kononnya, Valentine Day sudah mahu tiba dan mereka merancang dengan riang dan tawa. Duit mak bapak dan biasiswa serta PTPTN sedang dirancang rapi bagi sedikit... ah, inilah kehidupan remaja di IPT, bukan!?
Saya kemudian membawa diri, masih dengan persoalan tadi. Saya akui, bukan tiada yang cuba rapat, namun... hmmm. Bukan tiada juga yang saya cuba rapat... namun... hmmm. Kehidupan universiti belalu.
Hati terus tertanya, "Bagaimana mereka mudah sangat dapat apa yang mereka nak? Awek pun sentiasa tukar-tukar, malah ada yang sanggup membela mereka..."
Fuhhh.
Hakikat cinta
Usai semuanya, hakikat cinta baru benar-benar menampakkan sinarnya walau separuh. Seorang demi seorang berkahwin dan kebanyakan mereka adalah yang tidak terlibat dan mempunyai pakwe atau makwe pun sepanjang rehlah ilmu. Namun diakui memang ada yang bercinta dari awal hari pertama pendaftaran dengan istilah apa namanya... love at the first side, from the eye's to the bottom and deeper in their heart...
Namun tidak ramai yang begitu... yang ramai adalah pakwe makwenya yang bervalentine sakan dahulu, nampaknya masih membujang. Eh, secara logiknya sepatutnya mereka yang jalan dulu. Namun berat untuk saya nyatakan, kebanyakannya juga ada yang sudah jauh masuk ke lembah maksiat namun ramai juga yang sudah kembali semula ke pangkal jalan. Alhamdulillah.
Saya pula... hmmm... saya serah kepada mak ayah saya. Minta mereka carikan, saya kata, "Ibu carikan yang ibu berkenan, temukan kami. Dia lihat saya dia berkenan dan saya lihat dia saya berkenan. Kira jadilah... boleh?"
Ibu mula mencari dan saya hanya sentiasa berdoa, walau apa jua kaedah yang menemukan jodoh kami, ia adalah yang terbaik buat kami. Melalui ibu saya, atau melalui ayah, atau melalui pakcik dan makcik atau melalui apa sahaja termasuk internet(!?).
Ibu cari-cari tidak jumpa, pelik yang amat. Sebesar-besar tanah serendah sekebun bunga dikatakan tiada yang sesuai. Kriteria yang saya letakkan hanya dua; 1. Pandai baca Quran dengan fasih, 2. Bertudung labuh dan suka berjubah. Tidak perlu ada ijazah, tidak perlu ada master mahupun PhD. Bukan itu syarat utama isteri solehah dan ibu mithali. Kalau ada, bonus.
Ibu cari lama juga. Sehingga setahun saya rasa. Kerana tidak jumpa juga, pada hari raya tahun itu saya katakan kepada beliau, "Ibu, saya sudah minta ibu carikan dan nampaknya tiada yang ketemu. Jadi, selepas ini jika saya usulkan sesiapa yang saya berkenan mohon ibu terima dengan lapang dan reda ya?"
Ibu senyum. Maknanya dia setuju.
Bulan depan saya telefon ibu dan ayah minta datang ke Kuala Lumpur, jumpa bakal menantu. Alhamdulillah, kini kami sudah punyai sepasang cahaya mata yang comel. Semoga Allah memberikan kebahagian, keislaman dan keimanan hingga ke pintu syurga kepada kami sekeluarga.
Muhasabah
Saya renung kembali mengapa ada setengah kawan sangat mudah mendapat awek atau makwe dahulu, malah ada terlalu jauh dalam perhubungan itu sehingga membawa kepada maksiat sedangkan diri saya tidak mendapat peluang sebegitu sekalipun saya dalam kalangan mereka.
Mereka seakan-akan dimudahkan untuk membuat maksiat kepada Allah dengan dilorongkan kepada hal-hal yang demikian dan saya juga pernah terasa mahu buat perkara yang sama malah sudah mempunyai peluang di depan mata namun sentiasa ada halangannya.
Pada saat ini saya sedar dan insaf, bahawa semua itu sebenarnya adalah rahmat dan belas kasihan Allah kepada saya. Saat semuanya sudah di depan mata bagi terlibat dengan apa sahaja jenis maksiat maka Dialah yang menyelamatkan diri saya daripada terus terlibat, dia kalihkan hati saya daripada terus lali dalam kecanduan keseronokan sementara itu.
Dan pastinya sebab Allah jaga hati saya kerana doa daripada kedua orang ibu bapa saya yang sentiasa mendoakan anaknya ini selamat di dunia dan akhirat. Saya yakin tanpa doa mereka, Allah tidak akan pedulikan saya dan biarkan sahaja saya hanyut dalam lautan maksiat itu.
Dan saya juga yakin, bukan semua yang kita mahukan adalah yang terbaik untuk diri kita dan bukan segala yang nampak buruk itu bukan kebaikan buat diri kita. Allah tahu dan faham apa yang terbaik untuk kita sebagai hamba-Nya.
Kekesalan saya kerana tiada makwe dahulu terjawab dengan Allah hadiahkan seorang isteri yang cukup sempurna untuk saya. Begitu juga dengan kawan-kawan yang dahulunya tidak pernah kalut bercerita mengenai makwe dan kahwin akhirnya dipertemukan dengan jodoh yang terbaik dengan pelbagai cara.








p/s: Why do people talk about other people? Isn't sad that you derive your happiness from the calamities that befall others?



' Jika hari ini anda membenci seseorang itu setengah mati, itu bererti anda pernah mencintainya setengah mati suatu ketika dahulu.

No comments:

Post a Comment